Kokurikulum

 KELAB

Kelab Orator

Kelab Orator merupakan sebuah kelab bertujuan untuk mengasah dan menggilap bakat para pelajar untuk lebih berkeyakinan dan berketerampilan sewaktu pengucapan awam @ ‘public speaking’. Para pelajar akan didedahkan dan belajar cara penyampaian tazkirah, syarahan dan ceramah dengan lebih berkesan.

Kelab ini dipimpin oleh Ustazah Siti Annisha Binti Anuar dan Ustazah Nur Izzati Binti Mohd Nazim @ Mohd Nazam.

Kelab Tadabbur Al-Quran

Kelab ini ditubuhkan untuk membantu para pelajar memahami maksud dan isi kandungan ayat-ayat Al-Quran dengan lebih bermakna dan lebih mudah difahami. Terlalu banyak isi kandungan Al-Quran yang perlu kita fahami maksudnya dan tidak cukup hanya sekadar membaca dan menghafal sahaja.

Kelab ini dipimpin oleh Pengetua MTIMH sendiri iaitu Ustaz Mohamad Nizam Bin Abdul Aziz, dan untuk pelajar perempuan pula dibimbing oleh Penolong Kanan Akademik iaitu Ustazah Husna Binti Rosli.

Pebimbing Rakan Sebaya (PRS)

Bagi para pelajar yang merupakan remaja berumur belasan tahun, yang paling hampir dengan mereka adalah rakan sebaya mereka sendiri. Kelab ini bertujuan untuk melatih remaja-remaja yang berkaliber dan berpotensi untuk mejadi pemimpin di kalangan rakan sebaya dan mengelakkan rakan-rakan dari terjebak dengan gejala yang tidak sihat, dan membantu menyuntik motivasi kepada rakan-rakan untuk terus bersemangat menimba ilmu pelajaran. Dalam masa yang sama, membantu memperkemas dan memperkasakan jatidiri Pebimbing Rakan Sebaya (PRS) itu sendiri, insyaAllah.

Kelab ini dipimpin oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Ustaz Nur Azizi Bin Osman dan dibantu oleh Ustazah Nur Athirah Binti Abdul Razak.

Dakwah dan Kepemimpinan

Para pelajar tahfiz seringkali akan bercampur dengan masyarakat dan akan ditugaskan untuk mengetuai acara-acara berunsurkan agama seperti menjadi bilal mengalunkan Azan, Imam solat waktu, Imam solat tarawikh, bacaan Yasin berjemaah, solat jenazah, bacaan talkin dan sebagainya. Justeru itu, para pelajar tahfiz perlu memantapkan diri mereka dengan ‘soft-skill’ untuk berinteraksi dengan lebih baik dengan masyarakat. Kelab ini bertujuan untuk membantu memperkemaskan kemahiran para pelajar untuk menghadapi situasi-situasi tersebut. Di samping melatih pelajar dengan ilmu-ilmu kepemimpinan.

Kelab ini dipimpin oleh Penolong Kanan Jabatan Al-Quran iaitu Ustaz Fatahur Rahman Bin Mohd Hafid dan pelajar banat dipimpin oleh Ustazah Nur Ajwa Binti Tokiman.

 

SUKAN & PERMAINAN

Para pelajar yang mengikuti pengajian tahfiz di Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz (MTIMH) turut berpeluang menyertai acara-acara pertandingan sukan peringkat maahad. Aktiviti-aktiviti sukan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menyihatkan fizikal dan mental pelajar di samping mengasah bakat sukan mereka.

Para pelajar yang berpotensi dan berbakat seterusnya akan dipilih untuk mewakili MTIMH dan menyertai kejohanan sukan dan pertandingan ko-kurikulum yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Para pelajar juga turut dihantar menyertai pertandingan-pertandingan anjuran pihak luar yang boleh memberi nilai tambah kepada pelajar disamping memberi pengalaman berharga kepada mereka.

Program dan acara sukan dan permainan di MTIMH dianjurkan dan dikendalikan oleh Jabatan Ko-kurikulum yang dipimpin oleh Ustaz Zulkifli Bin Hamzah selaku Penolong Kanan Ko-Kurikulum.

Kejohanan Merentas Desa

Kejohanan Merentas Desa merupakan acara yang dianjurkan secara dwi-tahunan. Aktiviti merentas desa ini dapat membantu para pelajar merasai suasana larian merentasi desa dan kampung di sekitar kawasan maahad disamping memberi peluang kepada para pelajar untuk bertegur sapa dan menyantuni jiran-jiran sekitar sepanjang larian mereka. Ini dapat memupuk jalinan yang akrab antara pelajar dan masyarakat sekeliling. Para pelajar memulakan larian dari maahad dan merentasi beberapa buah kampung, desa dan taman seperti Kampung Lembah Melewar, Kampung Padang Balang, Kampung Sungai Mulia, Kampung Changkat Desa, Taman Melewar, Taman Rowther dan Taman Koperasi Polis yang terletak di kawasan Lembah Melewar, Gombak, Kuala Lumpur.

Kejohanan Sukantara

                Kejohanan Sukantara merupakan acara dwi-tahunan. Para pelajar akan bersaing mewakili rumah sukan masing-masing. Rumah Sukan yang memungut mata terbanyak akan diumumkan sebagai Rumah Sukan Terbaik.

Antara acara sukan dan permainan yang dipertandingkan adalah;

  • Futsal
  • Bola Tampar
  • Badminton
  • Ping Pong
  • Bola Jaring
  • Takraw
  • Catur

Rumah Sukan

Para pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz (MTIMH) di bahagikan secara rawak kepada empat buah rumah sukan. Kesemua aktiviti ko-kurikulum adalah berdasarkan kepada penyertaan mewakili rumah sukan masing-masing. Para pemenang akan menyumbang mata merit kepada rumah sukan mereka. Rumah sukan yang paling aktif dan cemerlang dengan markah terkumpul tertinggi pada akhir tahun akan dinobatkan sebagai Rumah Sukan Terbaik dan memenangi Piala Pusingan.

                Senarai Rumah Sukan di MTIMH;

  • Ibnu Rusydi (Rumah Biru)
  • Ibnu Bathutah (Rumah Merah)
  • Ibnu Sina (Rumah Hijau)
  • Ibnu Qayyum (Rumah Kuning)

 

AMAL ISLAMI

Amal Islami merupakan sebuah program pertandingan aktitivi-aktiviti berteraskan Islamik yang dianjurkan di peringkat maahad. Para pelajar bersaing mewakili rumah sukan masing-masing. Program ini bertujuan melatih pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pertandingan berunsurkan Islamik disamping mencungkil bakat-bakat terpendam para pelajar. Pelajar yang berpotensi kemudiannya dihantar mewakili maahad menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).

Antara pertandingan yang dianjurkan dalam Amal Islami adalah seperti;

  • Khat dan Kaligrafi
  • Hafazan Al-Quran (30 Juzuk)
  • Tilawah Al-Quran
  • Syarahan/Pidato Terbuka
  • Nasyid
  • Bacaan Khutbah
  • Azan
  • Tazkirah (Solo dan Berkumpulan)